Antara ada dan hilang ?

Kami tak pernah rasa atau terfikir untuk bercinta. Tidak pernah sekali pon saling mengaku suka. Malah kami juga bukan kawan baik yang berkongsi segala hal sentiasa.

Tapi anehnya, kami selalu ada sentiasa. Ada disisi tanpa perlu dijemput, ada dalam detik yang tak pernah kami sangka. Kehadiran yang bukan dengan janji, tapi dengan rasa senyap yang anehnya menenangkan.


Kemudian dia hilang seketika - dibawa jauh oleh keadaan. Dua tahun tanpa jejak. Tanpa berita. Hilang..... bukan kerana aku melepaskan, bukan juga kerana dia memilih pergi.


Aku?

 

Terus hidup. Terus mencari, cuba mengisi ruang dengan cara sendiri. Tapi dalam diam, ada bahagian diri aku yang tetap menanti sesuatu yang aku sendiri tak tahu apa.

Dua tahun... sepanjang itu, aku tak tahu dimana bayangnya. Nama dia perlahan lahan hilang dari bibir aku, tapi tak pernah benar benar terpadam dari fikiran aku. Kadang aku tertanya sendiri, adakah dia masih mengingati? Atau aku cuma bayang singgah yang tak pernah bermakna? Dan ketika itu, aku cuma bayangkan dia, sudah berkahwin.

Dan ketika itu juga, hidup membawa aku jatuh. Mahligai aku runtuh, meninggalkan aku di titik paling rendah, paling sunyi, paling retak. 

Dan di tengah semua itu, dia kembali. Tidak dengan gegar, tidak dengan manis kata, hanya hadir seadanya. Dia datang sederhana - seolah olah dua tahun tu tidak pernah wujud, seolah olah kehilangan tu hanyalah jeda sementara.


Aku masih ingat kata kata dia;

"Kadang aku fikir fikir. Kau ni sebenarnya apa. Allah takdirkan untuk aku ke. Sebab kau tak pernah hilang. Tapi dalam masa yang sama aku nampak jurang. Kau enggang, aku pipit. Jauh kita ni..."


Kata kata tu macam menoreh, tapi juga menyentuh. Dia mungkin nampak dirinya kecil, tapi dia tak tahu - pada aku, keberadaannya sudah cukup jadi ruang tenang.

Dulu aku rasa, kami tak tahu siapa kami pada satu sama lain. Hubungan tanpa nama, hadir dalam samar. Tapi kini, mungkin kami tahu - ada yang tidak perlu definisi besar, tapi cukup sekadar wujud dan tetap mimilih untuk ada.


- Ada yang hilang untuk kembali, bukan untuk pergi.

Mungkin itu kami.